Di saat anda sedar anda perlu memasang CCTV sama ada di rumah, di pejabat, di premis perniagaan anda, proses pemilihan CCTV boleh menjadi suatu proses yang memeningkan kepala kerana terdapat pelbagai jenis kamera CCTV yang berada di pasaran.

Antara persoalan yang sering timbul semasa memilih kamera CCTV yang sesuai adalah:-

• Kamera CCTV jenis apa yang terbaik?
• Apakah jenis kamera CCTV yang ada di pasaran?
• Berbaloikah dengan harga yang ditawarkan?
• Di sudut mana sepatutnya kamera CCTV dipasang?
• Dari mana mahu memulakan pencarian kamera CCTV yang paling sesuai?

Pemilihan kamera CCTV yang tepat dapat menjimatkan wang dan masa anda. Jenis kamera CCTV yang hendak anda pilih bergantung kepada fungsi yang anda mahukan, lokasi, lingkungan ruang yang anda mahu awasi, dan pengetahuan serta kemahiran yang anda miliki.

10 tip ini dapat membantu anda supaya jimat masa berfikir dan membuat keputusan dengan lebih pantas!

1. Kualiti vs. Bajet

Kamera CCTV kini sudah boleh didapati dengan harga yang mampu milik. Namun, dengan memilih kamera CCTV yang terlalu murah dan tanpa jenama mampu mengakibatkan anda mengeluarkan kos yang lebih besar dari yang sedia ada.

Fikirkan, dengan teknologi yang canggih, beserta pakej semua dalam 1 ditawarkan dengan harga yang tersangat murah pastinya ada keraguan terhadap kualitinya.

Jika sesuatu produk yang mempunyai kualiti tahan lasak pasti diperbuat dari material yang bagus dan juga berkualiti. Teknologi yang canggih juga tidak datang dengan harga yang terlalu murah.

Sekiranya anda merancang untuk memasang kamera CCTV sendiri, anda memerlukan:-

• Kamera untuk setiap ruang yang anda mahu pantau
• Pendawaian dan suis rangkaian (network switches) jika anda tidak gemar kamera tanpa wayar
• Kos pemasangan (menebuk dinding, memasang wayar dan sebagainya)
• Alat rakaman dan cakera keras untuk menyimpan video rakaman
• Perisian pemantauan pihak ketiga
• Kos langganan cloud storage

Setlah bajet anda sebaiknya dan binalah sistem kamera CCTV anda dalam lingkungan kemampuan anda. Ia pasti memudahkan dan menguntungkan jika anda memiliki kemahiran dan ilmu tentang perihal teknikalnya.

Jika tidak, adalah lebih baik untuk anda dapatkan khidmat dan bimbingan dari ahli yang profesional yang bukan sahaja dapat memberikan nasihat untuk menyesuaikan bajet dengan kualiti yang anda perlukan, tetapi juga akan menjimatkan masa dan tenaga anda dari hal pemasangan hingga ke hal teknikal.

2. Penggunaan di luar (outdoor) atau di dalam (indoor) premis

Kamera CCTV yang direka bentuk untuk penggunaan di luar dan di dalam premis adalah berbeza kerana faktor persekitaran seperti hujan, bahang panas matahari, habuk dan suhu persekitaran.

Kamera CCTV indoor mempunyai kos yang lebih rendah kerana tiada tambahan fungsi yang melindunginya dari pendedahan cahaya matahari secara terus seperti kamera CCTV outdoor. Jika anda berniat untuk memasang kamera CCTV di dalam premis anda, pastikan anda memilih jenis indoor.

3. Tentukan target anda

Pilihan lokasi dan ruang yang anda mahu awasi mempengaruhi jenis kamera CCTV yang bakal dipasang. Antara kegunaan biasa kamera CCTV adalah untuk memantau lokasi berikut:-

• Memantau keadaan luar premis seperti kawasan luar kilang, pejabat atau kediaman
• Memantau premis yang kosong seperti homestay
• Memantau tempat penyimpanan barang
• Memantau pintu masuk kedai
• Memantau anak-anak di rumah
• Memantau pekerja
• Perakam bukti jika berlaku sesuatu yang tidak diingini

Sudahkah anda tentukan apakah target pantauan anda? Ketahuilah bahawa setiap target yang ditentukan mempunyai penjimatan dan pelaburannya yang tersendiri.

4. Boleh dilihat atau tersorok

Sama ada kamera CCTV yang dapat dilihat atau tersorok, kedua-duanya mempunyai fungsinya tersendiri bergantung kepada kehendak anda. Jika anda mahu memantau pembantu rumah yang menjaga anak-anak anda di rumah tanpa pengetahuannya supaya anda dapat mengetahui cara pengurusannya yang sebenar, kamera CCTV tersorok adalah lebih sesuai.

Jika anda mahu mencegah kejadian yang tidak diingini dari berlaku, kamera CCTV yang dapat dilihat pilihan yang sesuai.

5. Memiliki fungsi pengawasan di waktu malam

Fungsi night vision ini adalah sangat penting jika anda mahu pengawasan dan pemantauan selama 24 jam siang dan malam.

Mahal atau murah sesuatu kamera CCTV itu ditentukan oleh tahap keberkesanan fungsi night-vision yang pelbagai. Kamera CCTV yang murah tidak mampu memantau dan merakam imej dengan jelas.

Manakala pengimejan yang berkualiti serta mempunyai pengesan yang bagus dalam sebuah kamera CCTV dapat menghasilkan rakaman keselamatan yang baik.

Andaikan anda berada di tempat perompak. Dari arah mana agaknya mereka akan ceroboh dan sejauh mana anda mahukan kamera CCTV anda ‘melihat’ di waktu malam?

6. Kualiti resolusi gambar dan video

Kamera CCTV yang beresolusi tinggi mampu merakam dengan lebih terperinci dalam setiap frame, memberikan anda kualiti gambar yang bagus. Fungsi ini sangat penting untuk kediaman anda.

Dalam pertimbangan anda memilih kamera CCTV, tanyakan pada diri anda sejauh mana keperincian yang anda mahukan dalam video rakaman tersebut? Untuk sesetengah lokasi dan target, anda mungkin tidak memerlukan pengesan (sensor) kamera CCTV yang paling bagus.

Sekiranya anda mahukan pengesan pergerakan yang mudah di halaman rumah anda, kamera beresolusi lebih rendah dengan kos yang lebih rendah sudah cukup untuk keperluan anda.

Tetapi, jika anda mementingkan pengawasan dan pemantauan di lokasi yang menempatkan barang yang berharga di tempat yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi, anda perlu bersedia untuk melabur demi mendapatkan fungsi resolusi yang tinggi. Fungsi ini penting untuk mendapatkan imej yang jelas seperti wajah dan nombor plat kereta untuk mendakwa si pesalah.

7. Menonton semula rakaman video

Setelah anda memasang kamera CCTV yang bagus, bagaimanakah anda ingin menonton videonya?

Terdapat pelbagai perisian dan aplikasi yang memudahkan anda untuk menonton video siaran semasa.

Adakah suatu keperluan untuk anda melihat semula rakaman pada hari Ahad seminggu yang lepas pada jam 6.40 petang? Jika ya, anda memerlukan tempat simpanan rakaman video (storage).

Terdapat pelbagai jenis storage seperti DVR, NVR, SD dan cloud storage. Pemilihannya dipengaruhi oleh sebesar mana saiz storage yang anda perlukan, dan jumlah durasi rakaman video beresolusi tinggi yang anda mahu simpan.

Semakin besar jumlah storage yang anda perlukan, semakin tinggi kos yang perlu dilaburkan.

8. Pertimbangan jenis penyambungan

Jenis penyambungan kamera CCTV ditentukan oleh anda. Sama ada menggunakan jenis tanpa wayar (wireless) ataupun jenis wayar.

Jika anda menggunakan kamera CCTV tanpa wayar di mana pemasangannya dan penetapannya adalah lebih mudah, anda hanya memerlukan bekalan kuasa elektrik.

Kamera CCTV jenis wayar pula sedikit rumit tetapi mampu berfungsi dengan baik seperti kamera CCTV tanpa wayar. Perkara yang anda perlu fikir untuk jenis wayar ini adalah lokasi untuk menebuk lubang, tempat yang sesuai untuk meletakkan dan mengatur wayar bagi kamera CCTV outdoor, suis rangkaiannya, lokasi untuk meletakkan router dan bagaimana untuk menyambungkan kepada NAS (Network Attached Storage) dan NVR (Network Video Recorder).

Kamera CCTV tanpa wayar ini sangat memudahkan jika anda mempunyai anak di mana ia mempunyai fungsi mudah alih untuk memantau anak anda di lokasi yang berbeza.

Namun, fungsi kamera CCTV tanpa wayar ini juga mempunyai kekurangannya seperti risiko gangguan siaran dan ia tidak dapat merakam jumlah video keselamatan yang sama seperti kamera CCTV berwayar. Walaubagaimanapun, untuk menambah kamera CCTV yang baru ke dalam rangkaiannya adalah lebih mudah.

9. Posisi kamera yang sesuai

Posisi kamera sangat penting bagi memastikan anda dapat melihat sisi yang anda mahukan. Sukar untuk mengesan wajah penjenayah jika kamera CCTV diletakkan di posisi yang terlalu tinggi.

Field of View (FOV) iaitu keluasan medan penglihatan sesebuah kamera CCTV adalah terhad. FOV yang lebih baik memberi keupayaan merakam video dari sudut yang lebih lebar medan penglihatannya. Bermaksud, anda dapat liputan kawasan yang lebih baik.

Fungsi zoom dan gerakan terdapat dalam sebahagian rangkaian produk kamera CCTV di pasaran. Contohnya, kamera PTZ (Pan-Tilt-Zoom) memberi keupayaan untuk anda menggerakkan kamera CCTV dari jauh. Sesuai jika anda ingin bertukar lokasi dan sentiasa ingin memantau target kawasan yang luas.

Ada juga pelanggan yang memilih kamera dome kerana kelebihannya melindungi kamera di dalamnya dari gangguan

10. Perisian terbaik

Jenis perisian yang digunakan untuk merakam video keselamatan anda menentukan tahap kualiti sesebuah kamera CCTV. Kebanyakan kamera CCTV menawarkan fungsi Plug-and-Play iaitu tidak memerlukan penetapan sistem secara manual yang datang bersama kemudahan kawalan kamera secara online.

Jika anda ingin melihat video setiap minit secara langsung, anda memerlukan sistem perisian khas untuk siaran video. Jika anda ingin menyimpan koleksi rakaman video sebagai backup, pilihlah kamera CCTV yang paling berkualiti yang memiliki ciri fleksibel yang sesuai dengan perisian tersebut.

Terdapat aplikasi yang menyediakan kemudahan untuk anda memantau keadaan premis anda dari jauh walaupun anda berada di luar negara. Pemantauan melalui aplikasi ini dapat dilakukan hanya melalui telefon bimbit atau tablet anda sama ada jenis Apple atau Android sama ada kamera CCTV anda tanpa wayar atau berwayar. Ciri ini sangat memberikan ketenangan apabila anda berjauhan dari premis anda.

Masa untuk membuat pilihan

Pastikan anda menyenaraikan target dan ciri yang anda mahukan supaya anda tidak melabur kepada fungsi yang anda tidak perlukan. Semoga tip-tip di atas dapat membantu anda untuk membuat pertimbangan akan keperluan anda serta faktor-faktor luaran yang dapat mempengaruhi anda memilih kamera CCTV yang sesuai dan berbaloi pada harga yang mampu anda miliki.

× Whatsapp kami untuk pasang CCTV